KUALA LUMPUR 21 Mac - United Global Technologies Sdn. Bhd. (UGT) akan melabur antara RM9 juta hingga RM11 juta untuk membangunkan rangkaian pengiklanan terbarunya berbentuk televisyen interaktif di semua cawangan 7-Eleven Malaysia Sdn. Bhd. (7-Eleven) di seluruh Malaysia. Pengarah Urusan UGT Francis HL Wong berkata, buat permulaan syarikat telah melabur sebanyak RM3 juta daripada jumlah tersebut untuk peruntukan penyelidikan dan pembangunan. Baki daripada jumlah pelaburan itu akan digunakan dalam tempoh 12 bulan akan datang untuk perisian komputer, perkakasan dan lain-lain lagi, jelasnya. ''Produk terbaru itu berbeza daripada medium pengiklanan tradisional di media cetak dan elektronik tetapi ia adalah slot iklan yang ditayangkan dalam beberapa saat dalam televisyen skrin cecair kristal (LCD) Samsung,'' katanya semasa berucap pada majlis pelancaran interaktif televisyen UGT dengan 7-Eleven, di sini hari ini. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Eksekutif 7- Eleven, Ng Su Onn dan Naib Presiden Jualan dan Produk Pemasaran, Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn. Bhd. (Samsung), Chan Lock. Iklan yang ditayang itu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu tayangan video selama 15 saat, animasi berita selama 10 saat dan gambar produk selama lima saat. LCD itu akan dipasang berdekatan dengan kaunter pembayaran cawangan 7-Eleven bagi membolehkan pelanggannya menyaksikan iklan mengenai produk dan perkhidmatan daripada pelbagai syarikat. Katanya, ia juga bersesuaian sebagai langkah awal untuk mana-mana syarikat yang mahu mengiklankan produk dan perkhidmatan mereka sebelum melangkah ke medium pengiklanan dalam televisyen. Ini kerana harganya lebih berpatutan, iklan yang ditayangkan secara serentak di seluruh cawangan 7-Eleven dan slot tayangan iklan itu dibuat begitu menarik serta tanpa henti, jelasnya. Sementara itu, pada sidang akhbar, Pengarah Pemasaran UGT, Keith Wong berkata, buat masa sekarang, syarikat telah berbincang dengan kira-kira 300 buah syarikat yang berminat untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan di dalam rangkaian terbaru ini. ''Produk tersebut telah dipasang di 30 buah cawangan 7-Eleven dan dalam tempoh tiga bulan akan datang. Semua rangkaian kedai serbaneka itu di Lembah Kelang akan dilengkapi dengan televisyen interaktif UGT ini. ''Kami menjangkakan dalam tempoh sembilan bulan akan datang, semua cawangan 7-eleven akan dilengkapi dengan produk berkenaan,'' jelasnya lagi. Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai unjuran pendapatan daripada segmen perniagaan baru itu berkata, pulangan balik daripada nilai pelaburannya itu akan dinikmati syarikat dalam tempoh dua tahun akan datang. Sementara itu, Pengurus Kanan Bahagian Perdagangan 7-Eleven, Ho Kar Shan berkata, syarikat yang telah beroperasi di Malaysia lebih daripada 20 tahun itu kini memiliki 903 cawangan di seluruh negara. ''Kami menjangkakan jumlah itu akan bertambah kepada 1,000 cawangan menjelang akhir tahun ini yang akan ditumpukan di kawasan bandar dan luar bandar,'' jelasnya. Bagaimanapun, menurut beliau lokasi terbaru itu belum dikenalpasti dan ia dijangka menelan belanja antara RM250,000 hingga RM300,000 untuk sebuah cawangan,'' jelasnya lagi. |